Assalamualaikum
Di atas rasa keinsafan untuk anak bangsa Malaysia untuk terus maju dan berjaya, maka keperluan mewujudkan kursus pidato amat diperlukan disaat ini. Kita tidak boleh leka dan berdiam diri semata-mata melihat kebangkitan bangsa negara lain. Kepercayaan bahawa Malaysia khususnya boleh bangkit semula, membangun dan maju setanding dengan keupayaan bangsa dan negara lain di Barat mahupun Timur, telah melonjak semangat kita dan kita terpanggil untuk mengambil inisiatif memperlengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan agar bangsa Malaysia mampu mencipta sejarah kegemilangan dan kecemerlangan yang telah terkubur di zaman lampau. Bangsa Malaysia sebenarnya satu bangsa yang hebat dan mampu melahirkan pemidato-pemidato hebat dunia, cuma usaha keras harus dilakukan untuk menyerlah keterampilan mereka dalam pidato.
“Ke Arah Melahirkan Insan Cemerlang Yang Petah Meluahkan Kebijaksanaan Secara lebih Kreatif, Meyakinkan dan Bersistematik Malah Mampu Membudayakan Seni Intelek Berpidato Sebagai Teras Kekuatan Bangsa”
Dato’ Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof
Kepentingan Pidato
Penggunaan ilmu pidato ibarat seperti menanam bibit keazaman yang bertunjangkan keberanian untuk mencipta kejayaan. Kejayaan tidak datang menerpa tanpa keyakinan diri yang mendalam. Mempelajari ilmu pidato akan membentuk sikap positif yang kelak menghasilkan kejayaan dalam diri. Bukan semua orang mampu berpidato dikhalayak ramai namun semua orang mampu menjadi pemidato setelah mempelajarinya.
“Maksudnya: Sesiapa yang ingin memperbaiki diri perlu ada keyakinan serta harus mempelajari teknik ilmu pidato untuk mengukuhkan diri”
Dato’ Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof