Teks Ucapan 1


Contoh teks pengacara Majlis yang dapat dijadikan panduan bagi menyediakan tugasan anda.
MAJLIS PERASMIAN
SEMINAR MELAYU MAHAWANGSA
ANJURAN
FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
DENGAN KERJASAMA
GABUNGAN PENULIS NASIONAL (GAPENA)
18 – 19 JULAI 2006
  1. (KETIBAAN KETUA MENTERI MELAKA, NYANYIAN NEGARAKU DAN PUTRA GEMILANG)
  • (Para hadirin dipersilakan berdiri untuk menghormati ketibaan KM, menyanyikan lagu Negaraku dan Putra Gemilang)
  • Bismillahirrahmanirrahim.
  • Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
  • Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd. Rustam, Ketua Menteri Melaka, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam.
  • Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Mohamed, Timbalan Naib Canselor, HEP dan Alumni, Universiti Putra Malaysia yang mewakili Naib Canselor, UPM.
  • Yang Berbahagia, Prof. Madya Dr. Hj. Rosli Talif, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
  • Yang Berbahagia, Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Dr. Hj. Ismail Hussein, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA),
  • Yang Berusaha, Puan Hajah Halimah Hassan, Penyelaras Unit Dokumentasi Warisan Melayu dan Peribumi, FBMK, merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Seminar.
  • Tetamu-tetamu kehormat, timbalan-timbalan dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ketua-ketua jabatan, para sarjana dan pembentang kertas kerja, para peserta seminar, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Sirih berlipat bersama pinang,
Pinang berasal Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.
  • Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurnia-Nya yang amat banyak, dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini dalam Seminar Melayu Mahawangsa anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam.
  • Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, atas kesudian melapangkan masa untuk bersama-sama di majlis ini. Dengan berkat kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri, Seminar yang bertemakan Rekayasa Citra Melayu Sebagai Mahawangsa ini menjadi lebih bermakna lagi.
  • Terima kasih juga kepada tetamu-tetamu kehormat dan para pembentang kertas kerja, serta para hadirin dan hadirat sekalian kerana bersama-sama memeriahkan majlis pada pagi ini.
Tetak buluh panjangnya tujuh,
Buat menjolok sarang penyengat;
Angkat tangan jari sepuluh,
Doa dipohon supaya berkat.
  • Bagi memakmurkan lagi majlis kita pada pagi ini, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Dr. Mohd. Fauzi Jumingan untuk membacakan doa. Dipersilakan.
(BACAAN DOA DAN APABILA SELESAI)
  • Alhamdulillah. Majlis mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mohd. Fauzi Jumingan atas bacaan doa itu tadi.
2. (UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI)
Dayung sampan dulu-duluan,
Singgah berlabuh di Tanjung Jati;
Ucapan sebagai alu-aluan,
Mari tuan sama-sama amati.
  • Majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berusaha, Puan Hajah Halimah Hassan, selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Seminar untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan hormatnya dipersilakan.
(UCAPAN PENGERUSI DAN APABILA SELESAI)
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Hajah Halimah Hassan atas ucapan itu tadi.
3. (UCAPAN TNC)
  • Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,
Kapal berlabuh di Kuala Rengit,
Semat jerami di Sungai Muar,
Tuan umpama bulan di langit;
Dapat kami menumpang sinar.
  • Seterusnya kita ikuti pula ucapan sambutan Timbalan Naib Canselor. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Muhamad, untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
  • (UCAPAN TIMBALAN NAIB CANSELOR DAN APABILA SELESAI)
  • Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Muhamad atas ucapan itu.
4. (UCAPAN PERASMIAN KM MELAKA)
  • Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,
Dari Melaka pergi ke Serdang,
Singgah sebentar di Bukit Serindit;
Tuan umpama bintang gemilang,
Titipkan amanat barang sedikit.
  • Kita tiba ke puncak acara. Majlis dengan penuh rendah hati mempersilakan Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan seminar ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
(UCAPAN KETUA MENTERI, PUKULAN GONG DAN APABILA SELESAI)
5. (PENYAMPAIAN CENDERAMATA)
  • Majlis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kerana sudi menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Seminar Melayu Mahawangsa ini.
Air laut tenang-tenangan,
Tanam selasih tepi perigi;
Cenderamata tanda kenangan,
Terima kasih sekalung budi.
  • Sebagai tanda penghargaan, majlis mempersilakan Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Muhamad untuk menyampaikan cenderamata kepada Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
  • (Penyampaian cenderamata dan apabila selesai)
  • Majlis mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Muhamad kerana sudi menyampaikan cenderamata.
  • Seterusnya dipersilakan pula Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Rosli Talif untuk menyampaikan cenderamata kepada Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Azali Muhamad.
  • (Penyampaian cenderamata)
6. (PENUTUP)
  • Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para hadirin sekalian.
Ibarat berjalan dah sampai di halaman,
Ibarat berenang dah sampai di tebing,
Ibarat terbang dah hinggap di dahan,
Ibarat mendaki dah sampai di puncak.
  • Bagi pihak seluruh anggota jawatankuasa Seminar, majlis sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Yang Berbahagia, Profesor Madya Dr. Azali Muhamad atas kesudian untuk bersama-sama kita pada pagi ini.
  • Terima kasih kepada semua tetamu kehormat, hadirin dan hadirat yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini.
  • Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan Seminar Melayu Mahawangsa ini.
Akhir kata,
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Yang baik itu ketentuan Allah,
Yang cela itu kelemahan diri.
7. (PENGUMUMAN KM MENINGGALKAN MAJLIS)
  • Para hadirin sekalian, majlis seterusnya mempersilakan Puan Hajah Halimah Hassan untuk menjemput dan mengiringi Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor untuk menyaksikan pameran Melayu Mahawangsa di Bangunan Sanggar Bahasa dan Komunikasi. Dipersilakan dengan segala hormatnya.
Majlis turut mempersilakan tetamu-tetamu kehormat dan seluruh para hadirin untuk menyaksikan pameran di ruang berkenaan. Dipersilakan.
Sumber: Nota Kuliah Dr. Hj. Mohd. Sharifudin Yusop.teks ucapan